Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

MAJLIS MUZAKARAH DAN LAWATAN BERSAMA YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MESYUARAT NEGARA KE JABATAN IMIGRESEN DAN PENDAFTARAN KEBANGSAAN

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 5 Disember – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan mengadakan sesi muzakarah dan lawatan bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Mesyuarat Negara yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Tingkat 5, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Hadir mempengerusikan sesi muzakarah dan lawatan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud. Sementara itu, rombongan Ahli Majlis Mesyuarat Negara seramai 15 orang yang diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman.

Sebelum sesi muzakarah dimulakan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara terlebih dahulu melawat ke Bahagian-Bahagian di bawah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan iaitu Bahagian Kad Pengenalan Pintar, Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, Bahagian Pas Kerja, Bahagian Perundangan dan Perhubungan Antarabangsa, Bahagian Penyelidikan, Perkembangan dan Komputer dan Bahagian Warganegara. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara seterusnya dibawa kepada pameran Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang. 

IMG_2689.JPG

Pada sesi lawatan ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah diberikan penerangan mengenai dengan statistik kesalahan-kesalahan yang direkodkan di bawah bidang tugas Jabatan dan maklumat mengenai operasi-operasi penguatkuasaan yang telah dilaksanakan. Dalam pada itu juga, sesi lawatan berkenaan memberikan peluang untuk memperlihatkan barang-barang yang dirampas semasa Jabatan ini menjalankan operasi dan seterusnya demo teknik penangkapan pesalah.

Sesi muzakarah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Khas oleh Yang Mulia Awang Hafizulnizam bin Haji Kahar, Pegawai Pendaftaran Kebangsaan Kanan yang diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud. Ucapan balas seterusnya disampaikan oleh Yang Berhormat Dayang Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman. 

IMG_2775.JPG

Sesi muzakarah seterusnya diteruskan dengan taklimat khas daripada Pemangku Pengarah Imigresen dan Pedaftaran Kebangsaan, Yang Mulia Liza Suriani binti Haji Ibrahim. Taklimat khas berkenaan antaralain memberikan maklumat terhadap fungsi serta struktur Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Pencapaian Projek/Program Kerja 5 Tahun Kebelakangan, Projek Immigration and National Registration System (INRS) dan Labour Management System (LMS), Projek Pengubahsuaian Pos Kawalan Imigresen Sementara Labu, Daerah Temburong dan Perancangan Jabatan. Sesi Muzakaran diakhiri dengan sesi soal jawab.

Turut hadir dalam sesi muzakarah tersebut ialah Yang Mulia Awang Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim, Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Pemangku Timbalan Pengarah Imigresen, Pemangku Timbalan Pengarah Pendaftaran Kebangsaan, Penolong-Penolong Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.


Attachments
Created at 17/12/2020 11:59 by Mohammad Norkharimmin Bin Zakaria
Last modified at 17/12/2020 14:46 by Mohammad Norkharimmin Bin Zakaria